PERHIMPUNAN AGUNG
PERGERAKAN WANITA UMNO 2010
20 OKTOBER 2010
9 PAGI
“MELONJAK WANITA KE PERSADA KEPEMIMPINAN”
Bismillahir-rahman nir-rahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.
Yang Berbahagia Pengerusi Tetap Pergerakan Wanita UMNO Malaysia
Tan Sri Napsiah Omar
Yang Berhormat Timbalan Pengerusi Tetap Pergerakan Wanita UMNO Malaysia
Senator Dato’ Hajah Saripah Aminah Syed Mohamed
Yang Berhormat dan Yang Berbahagia Wakil-wakil Ahli-Ahli Majlis Tertinggi
Yang Berbahagia Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia
Dato’ Kamilia Ibrahim
Yang Berhormat, Yang Berbahagia Ahli-Ahli Exco Pergerakan Wanita UMNO Malaysia
Para Perwakilan
Dif-dif jemputan, pemerhati, para hadirin yang dirahmati Allah SWT
PEMBUKA BICARA
Alhamdulillah saya amat bersyukur kepada Allah SWT dengan limpah izinNya dapat kita semua berkumpul pada pagi yang penuh barakah ini. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, para sahabat, para solihin, siddiqin serta para mujahidah, mujahidin di dalam negara aman dan maju, Wanita UMNO bersemangat dan bersatu padu. Saya juga berdoa semoga ahli keluarga kita berada dalam keadaan sihat dan sejahtera.
Kesejahteraan juga saya doakan kepada para pejuang kemerdekaan Tanah Melayu bumi berdaulat ini, serta kesemua pejuang negara yang berbilang kaum dan agama, terutamanya pejuang UMNO dan wanitanya di mana sumbangan mereka kita amat menghargai. Tanpa mereka siapalah kita, perjuangan mereka yang diintisarikan dengan sulaman air mata serta tenunan benang pengorbanan tentunya tidak akan kita biar lapuk dek zaman atau dipersiakan. Kitalah pewaris nusa dan bangsa. Satu amanah yang kita pikul dengan penuh tanggungjawab.
Para hadirin sekalian,
Bagi pihak barisan kepimpinan Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, saya ingin mengalu-alukan semua perwakilan ke Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita UMNO Malaysia 2010. Puan-puan mewakili 1,382,219 ahli Wanita UMNO dari 191 bahagian di seluruh negara. Selamat Datang saya ucapkan kepada para tetamu khas dan kepada para pemerhati yang hadir. Kita menanti dengan debaran hati, amanat Presiden UMNO, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Najib Tun Razak esok hari sempena Perhimpunan Agung UMNO 2010. Terima kasih kepada Timbalan Presiden UMNO, Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merasmikan serentak Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Malaysia malam tadi.
Saya ingin merakamkan terima kasih kepada Yang Berbahagia Tan Sri Napsiah Omar, Pengerusi Tetap, Yang Berhormat Senator Dato’ Hajah Saripah Aminah Syed Mohamed, Timbalan Pengerusi Tetap, Dato’ Kamilia Ibrahim, Naib Ketua Wanita UMNO, barisan pegawai-pegawai dan ahli Exco serta semua kepimpinan Wanita UMNO di bahagian dan cawangan yang sentiasa memberi sokongan kepada saya untuk menjalankan tugas yang telah diamanahkan.
Tahniah saya ucapkan kepada pelajar-pelajar yang menerima Anugerah Nadi Negara di bawah naungan Pergerakan Wanita UMNO Malaysia. Kepada semua tenaga pendidik dan ibubapa, tahniah dan syabas saya ucapkan!
Alhamdulillah, sudah 63 tahun Pergerakan Wanita UMNO Malaysia melebarkan sayapnya. Dalam masa itu, kita telah mengalami perubahan-perubahan besar serta kemajuan yang luar biasa terutama dalam bidang pembangunan wanita dan keluarga. Wanita UMNO kekal menjadi tonggak parti dan negara, kandungkan saka, lahirkan baka, bangunkan keluarga, didik anak bangsa, jaga rumah tangga, kembangkan nilai agama. Walaupun naluri Wanita UMNO selembut sutera, tetapi semangat kita tetap waja. Halangan, rintangan, risiko – macam-macam kita hadapi. Cabaran politik tidak sedikit pun menggetarkan wanita dulu, kini dan
InsyaAllah selama-lamanya. KEJAYAAN PERJUANGAN WANITA
Atas semangat ini, sukacita saya maklumkan bahawa sejak kali terakhir kita berhimpun pada tahun 2009, Wanita UMNO telah mencatat beberapa pencapaian. Suara Wanita UMNO mendapat perhatian pucuk pimpinan parti. Pindaan Perlembagaan UMNO telah mengarus-perdanakan suara dan penglibatan wanita di peringkat pembuat keputusan induk dan bukan di peringkat sayap sahaja. Di antara lain:
seorang lagi Wanita telah dilantik ke Majlis Tertinggi menjadikannya dua orang, berbanding sayap lain yang kekal satu orang sahaja. Perkembangan yang sama juga telah dilaksanakan di peringkat Jawatankuasa Bahagian dan Cawangan di seluruh negara.
di peringkat Bahagian, semua ketua-ketua wanita Cawangan kini secara automatik adalah perwakilan ke Mesyuarat Perwakilan Bahagian.
Saya pasti puan-puan akan menentukan hajat dan hasrat wanita, berhubung isu-isu wanita dan keluarga, berkumandang melalui 20,342 cawangan di seluruh negara. Saya amat memahami – ini bukan satu perkara yang mudah. Tetapi saya yakin dengan keberanian dan komitmen puan-puan akan menentukan isu-isu tersebut tidak terlepas pandang.SKUAD SAYANG DAN JALINAN RAKYAT
Dalam usaha mendekati rakyat, program kebajikan, kemasyarakatan dan kemanusiaan Wanita UMNO melalui Skuad Sayang berjalan dengan begitu cergas, deras dan pantas, merebak dan menyerap ke seluruh denyutan nadi masyarakat. Alhamdulillah, Skuad Sayang mendapat respon dan sambutan yang amat luar biasa bukan hanya daripada ahli Wanita UMNO, tetapi juga rakyat di peringkat akar umbi.
Skuad Sayang adalah tanda keprihatinan kita terhadap isu-isu dan permasalahan rakyat, di samping bertujuan memupuk nilai-nilai murni serta kasih sayang di segenap lapisan masyarakat. Tindakan proaktif Skuad Sayang telah berjaya meringankan beban rakyat, malah mendapat sokongan kuat daripada kalangan pihak terlibat. Syabas saya ucapkan kepada semua Pesuruhjaya, Komandan dan sukarelawan Skuad Sayang yang secara ikhlas bertungkus-lumus tidak kira siang atau malam, hujan atau panas, sedih atau kecewa, resah atau gelisah; namun bertunjangkan hati yang kental, jiwa yang perkasa, sentiasa bersiap-sedia bingkas bangun menggalas tugas bukan hanya kerana pemimpin politik, tetapi yang lebih mustahak pelaburan untuk akhirat nanti, InsyaAllah.
Kita juga telah berjaya menggerakkan program Jalinan Rakyat sebagai pendekatan kita untuk mendampingi rakyat serta mendekatkan parti dengan pengundi. Puan-puan yang memahami hasrat dan hati nurani rakyat, kerana puan-puan yang berada di sisi rakyat di akar umbi siang dan malam. Puan-puanlah yang akan menyampaikan segala misi dan visi kerajaan dan parti Barisan Nasional kepada rakyat, berjinak dan bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemimpin-pemimpin masyarakat, aktivis-aktivis, orang perseorangan dengan cara yang lebih terancang, berkesan, berdisiplin, berintegriti dan konsisten. Melalui Jalinan Rakyat saya berharap bahawa pengundi dan masyarakat tempatan akan lebih mengenali hati budi orang UMNO dan Barisan Nasional dalam keikhlasan kita berpolitik.
KEIKHLASAN DALAM POLITIK
Para perwakilan yang dihormati sekalian,
Hari ini, Wanita UMNO tetap komited kepada perjuangan UMNO untuk Agama, Bangsa dan Negara. Agenda Melayu yang berpayungkan Gagasan 1Malaysia akan menjadi perjuangan asas kita bagi menentukan UMNO terus menjadi tulang belakang Kerajaan Barisan Nasional. Perjuangan UMNO inilah yang menjadi harapan, impian dan aspirasi seluruh bangsa Melayu. Pemimpin dan ahli UMNO mesti bersatu-padu, bertekad untuk menentukan bangsa Melayu tidak berpecah-belah yang akan membawa kepada kelemahan minda, kemunduran peradaban dan kehancuran bangsa Melayu. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.
Sebagai Ketua Wanita UMNO, saya menyeru agar puan-puan sentiasa berpegang kepada tradisi terbaik Pergerakan kita. Kebijaksanaan kita harus melebihi segala-galanya. Apabila kita berdiam, biarlah diam itu berisi. Apabila kita berbicara, biarlah bicara kita didengari. Apabila kita bertindak, biarlah tindakan kita berhasil. Apabila tindakan berhasil, manfaatnya berpanjangan. Pencapaian kita jelas dilihat semua. Marilah kita membuktikan hakikat ini sekali lagi pada 2 pilihan raya kecil yang berjalan serentak di Dewan Undangan Negeri Galas dan Parlimen Batu Sapi tidak lama lagi, dan juga Pilihan Raya Umum ke-13 kelak.
Namun begitu, saya ingin mengingatkan kita semua, bahawa di dalam menjalankan kesemua program parti, kita mesti melebar dan mengembangkan sayap kita, pengaruh kita, kepimpinan kita kepada kumpulan sasar terutamanya pengundi-pengundi yang lebih ramai daripada apa yang kita capai pada hari ini. Mengambil iktibar daripada amanat Presiden UMNO semasa Pelancaran Karnival Skuad Sayang 1Malaysia pada 17 Oktober 2010, beliau mengingatkan kita sekali lagi, bahawa di dalam menjalankan tugas, kita mesti menggempur semua kawasan, termasuk kawasan pembangkang tanpa rasa takut dan ragu-ragu, bersama-sama dengan rakan seperjuangan dalam parti komponen. Sentuhan ikhlas dan beramanah kita, terutama apabila kita membuat kerja-kerja kebajikan mestilah dirasai oleh lebih ramai rakyat di bawah payung 1Malaysia.
Kita tidak boleh lagi berada di dalam apa yang dikatakan “comfort zone” atau zon selesa. Saya selaku ketua, akan sentiasa mengupayakan puan-puan sebab saya hormat, saya percaya, saya yakin, saya sayang dan saya menaruh sepenuh harapan yang tinggi bahawa puan-puan akan membantu saya dan sama-sama kita membantu Presiden UMNO, Timbalan Presiden UMNO, Naib-Naib Presiden UMNO, pucuk-pucuk kepimpinan yang lain, parti-parti komponen mahupun anak-anak kita dari sayap Pemuda dan Puteri untuk meningkatkan lagi sokongan rakyat kepada Barisan Nasional dan membawa kemenangan yang besar dalam Pilihanraya Umum ke-13. Ini hanya dapat dicapai jika kita menjalankan tanggungjawab tradisi kita menggerak-mesra di kalangan rakyat dan pengundi dengan cara yang lebih strategik, disiplin dan konsisten. Jangan kita kerja hanya separuh jalan ataupun lepas tangan kerana amanah dan harapan parti dan rakyat yang kita pikul amat berat sekali.
Sebenarnya, rakyat jelata yang menjadi “silent majority” menunggu, melihat, mendengar serta berharap bahawa kita akan menjalankan tugas dengan baik, bijak dan berhemah kerana mereka mahu terus menyokong kepimpinan Barisan Nasional.
Apabila saya, Dato’ Kamilia dan Exco Wanita turun ke pelusuk negara mendampingi rakyat jelata, kami dapati bahawa di negeri dan kawasan pembangkang, ternyata rakyat amat rindu dan dahagakan kepimpinan Barisan Nasional. Kerinduan ini sungguh menyayat hati kerana di kawasan-kawasan pembangkang, rakyat dibiar begitu saja selepas tsunami politik pada tahun 2008. Umpama cinta monyet. Semasa kempen Pilihanraya Umum ke-12, pengundi dijanjikan dengan kata-kata manis, dinodai dengan asramadana dan khayalan fantasi politik yang memabukkan. Harapan rakyat dilambungkan ke angkasaraya, tetapi selepas itu pengundi ditinggalkan begitu sahaja. Kasihan! Tidak sampai 2 tahun, habis madu, sepah dibuang. Walhal, urusan politik dan pentadbiran kerajaan tidak boleh dipermainkan kerana jika silap langkah akan hancur satu-satunya negara milik semua rakyat Malaysia. Jelas dengan tabiat pembangkang, mereka hanya pandai mengkritik dan jaguh retorik dan gimik semata-mata.
Politikus bermusim! Agenda utama mereka adalah membawa kepada keresahan rakyat dan memporak-perandakan negara. Nawaitu utama beberapa personaliti pembangkang sebenarnya bukan untuk kesejahteraan dan kestabilan Malaysia, tetapi hanya satu, iaitu untuk diri sendiri mencari jalan ke Putrajaya. Dalam perjalanan ini, mereka tidak peduli sama sekali kemalangan-kemalangan ngeri yang berlaku di atas jalan raya politik ini, rakyat yang terkorban, dan rakyat yang dikorbankan. Kepada pembangkang, “the ends justify the means”. Malangnya, rakyat jelatalah yang menjadi “casualty” dan mangsa kepada rempuhan politik zalim ini.
Namun begitu, kita sebagai pemimpin UMNO dan Barisan Nasional yang bertanggungjawab mesti berhati-hati kerana iklim politik hari ini amat berbeza dari dahulu. Hari ini zaman sudah berubah – zaman inovasi, zaman ICT, zaman facebook, twitter, youtube. Malah, ideologi tradisional sudahpun terhilang daripada lanskap politik Malaysia. Dulu, politik negara kita diamalkan secara perlawanan antara politik haluan Kiri dan haluan Kanan, iaitu antara haluan Kiri Sosialis (yang dikaitkan dengan fahaman Marxisme – Leninisme) dan haluan Kanan yang mengutamakan nasionalisme, tradisi, keagamaan dan sebagainya. Itulah pemahaman politik dulu. Namun, wacana politik kini seolah-olah terbatas kepada perlawanan antara dua golongan Kanan sahaja, iaitu antara pihak ultra-nasionalis dan pihak ultra-konservatif agama. Tidak hairanlah jika rakyat jelata terkeliru, apatah lagi meluat dan bosan, sehingga bersikap tidak peduli terhadap amalan politik nasional. PERKARA 153 PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN
Pada masa yang sama, rakyat diheret ke dalam kancah polemik dan isu-isu teras yang telah dipersetujui sebulat suara oleh pemimpin-pemimpin semua kaum sebelum Merdeka, seperti isu agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak, kepentingan sah kaum-kaum lain, dan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan masing-masing di bawah Perkara 3, Perkara 152 dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Kita mesti ingat bahawa Perlembagaan Persekutuan telah digubal dengan mengambilkira Wasiat Raja-Raja Tanah Melayu, Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, dan sejarah berkenaan dengan kewujudan kaum-kaum lain sebelum Merdeka, selain daripada kaum Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak.
Mewakili 1.3 juta wanita, saya dengan jelas dan lantang ingin merekodkan bahawa kami Wanita UMNO Malaysia akan mempertahan dan menjadi perisai dan benteng kepada Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
Perkara 153 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan Malaysia berbunyi seperti berikut:
Perkara 153. Perizaban kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit, dan sebagainya (dsb.), bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak
(1) Menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini.
Wanita UMNO akan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, hak-hak berkenaan dengan institusi Raja-Raja Melayu, dan melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana, antara Negeri Sabah dan Sarawak, berhubung dengan kuota jawatan dalam perkhidmatan awam, biasiswa, danasiswa, permit atau lesen dalam pertukangan atau perniagaan, dan keistimewaan pendidikan, atau latihan, sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Wanita UMNO tidak akan berkompromi dengan tuntutan sesetengah pihak untuk mencabuli peruntukan yang termaktub. Pada masa yang sama, Wanita UMNO akan melindungi kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
Sebagai pencinta negara serta srikandi berjasa, Wanita UMNO tidak akan membiarkan kemuliaan dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dicabuli atau dicemari. Perkara 153 jelas melindungi kedudukan istimewa orang Melayu, dan anak negeri mana-mana, antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain.
Perlembagaan kita adalah maruah kita. Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang utama dan ibu segala perundangan di tanah air kita. Perlembagaan Persekutuan melindungi hak dan kepentingan semua rakyat: Melayu, Cina, India, serta suku kaum lain di Malaysia; dan tiada seorang pun yang ketinggalan. Sesiapa yang mencabuli Perlembagaan Persekutuan bukan hanya salah di sisi undang-undang tetapi boleh diibaratkan sebagai satu penderhakaan kepada ibu sendiri.
Kita mesti sedia berkorban demi mempertahankan setiap perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dari sebarang tentangan dan penghinaan. Kedudukan istimewa kaum Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak tidak boleh dipersoalkan. Samalah juga dengan kepentingan sah kaum-kaum lain yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Janganlah kita mengabdikan diri kepada godaan cauvinisme yang murah. Janganlah sesiapa melampaui batas Perlembagaan, mahupun prinsip-prinsip sepakat UMNO – Barisan Nasional. Jangan kita terperangkap dengan politik rakus sesetengah pihak yang akan dan sedang memecahbelahkan rakyat Malaysia mengikut kaum, agama dan bangsa.
Jika kita membiarkan perkara ini memakan jiwa dan kehidupan kita, maka akan hancur dan huru-haralah negara kita. Kita akan bermusuh di antara satu sama lain: Melayu dengan Melayu, Melayu dengan bangsa lain. Semua kaum – Melayu, Cina, India, serta bumiputera Sabah dan Sarawak dan kaum yang lain, akan khuatir, ragu, syak wasangka, benci membenci di antara satu dengan lain, kerana salah faham bahawa keistimewaan mahupun kepentingan sah masing-masing telah dan akan terkikis dan terhakis. Walhal, Perlembagaan Persekutuan mengambil kira semua aspek kehidupan dan kepentingan rakyat Malaysia. Jangan kita terperangkap dan terjerat dengan politik keterlaluan atau ekstremisme.
MEMBANGKITKAN KEMULIAAN MELAYU
Puan-puan dan tuan-tuan,
Kemampuan kita mempertahankan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan melindungi kesuciannya bergantung kepada kehebatan kita sebagai pemimpin yang dihormati. Jika dulu, mungkin kita dihormati kerana pangkat, darjat, dan kuasa. Namun pada hari ini, semua itu belum tentu diterima andai kita kurang berbudi, bernilai dan berakhlak. Lebih malang lagi jika kita, orang Melayu, tiada langsung kemuliaan jiwa, nilai, budi atau akhlak; sudah pasti kita tidak mampu untuk mengharapkan hormat dan akur dari orang lain. Walaupun ada kuasa dan pangkat, kita ibarat harimau tiada kuku, singa tiada taring atau naga tiada api.
Mulia manusia bukan pada pangkat, kuasa dan darjat, tetapi lebih kepada pakaian diri dan hiasan kendiri. Pakaian pemimpin adalah akhlak, pakaian ketua adalah jiwa, pakaian tuai adalah nilai, pakaian sejati adalah budi.
Untuk orang lain menghormati kita orang Melayu, kita mesti membangkitkan semula Kemuliaan Bangsa Melayu. Kemuliaan Melayu menjadi punca segala manfaat yang kita nikmati sepanjang sejarah kita. Kemuliaan Melayu menjadi pedoman perjuangan zaman dahulu, serta membimbing kepada cahaya Negara Bangsa masa hadapan yang lebih cerah. Tanpa kemuliaan, kita umpama seorang tuan yang penat bekerja meminta orang lain untuk menghormati kita. Jika kita mahu orang lain akur dan menghormati kita, maka yang utama adalah jiwa murni, akhlak terpuji dan nilai budi. Baru lah orang lain membeli.
Wanita UMNO – selaku ibu, isteri, anak, pemimpin – kita mesti kembalikan kemuliaan ke dalam perjuangan kita. “We must return nobility to every part of our struggle.” Jurang di antara rakyat kita berlaku kerana kita sebagai satu masyarakat, termasuklah semua pemimpin politik, telah alpa dengan intipati perjuangan asal politik Melayu, iaitu: kewajipan, tanggungjawab dan khidmat kepada rakyat. Nasib kerajaan bergantung kepada nasib rakyat “Our fate as a Government rests entirely upon the fate of our people.” Setiap daripada puan-puan yang hadir pada hari ini, setiap ahli Wanita UMNO, adalah pemimpin Nasional. Dan hanya melalui khidmat setia kita, maka UMNO dan Barisan Nasional mampu meraih kembali sokongan daripada rakyat jelata. Kewajipan, tanggungjawab dan khidmat, telah sekian lama menjadi prinsip asas UMNO sama ada di era kepimpinan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mahupun di zaman kepimpinan Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak.
Rakyat Malaysia mestilah terdiri daripada bangsa yang bersikap positif, berilmu, berpengetahuan, berpengalaman, berjaya, berwawasan, beretika, bertanggungjawab, berdisiplin, mempunyai nilai-nilai yang terpuji, minda yang terbuka, berdaya bersaing, dan tidak gentar menyahut cabaran. Sebenarnya inilah yang sepatutnya menjadi azam Wanita UMNO.
Kita Wanita UMNO harus memupuk dan memimpin negara bangsa berdisiplin, beriman dan berintegriti. Sifat-sifat inilah yang merupakan rukun istilah kehebatan mana-mana bangsa. Bukan kesombongan, kebencian, perkauman atau keserakahan, yang sebenarnya adalah sifat-sifat imperialis yang sudah lama kita tolak. Kita telah terlalu banyak berkorban demi perjuangan untuk tanahair tercinta ini. Andai kata kita sekarang ini memalingkan muka dari seruan ini yang asli, tulen dan benar, nescaya kita akan mengkhianati darah dan sejarah sendiri.
WANITA DAN TRANSFORMASI EKONOMI NEGARA
Para perwakilan yang dihormati,
Alhamdulillah, pada saat genting ini, perjuangan kita mendapat suntikan semangat di bawah kepimpinan Dato’ Sri Najib selaku Perdana Menteri Malaysia dan Presiden UMNO. Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah mengilhamkan beberapa tonggak utama untuk Kerajaan iaitu Gagasan 1Malaysia – “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”; Model Baru Ekonomi; Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA); Bidang Keutamaan Ekonomi Negara (NKEA) dan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dan yang terbaru Bajet 2011 - “Transformasi ke Arah Negara Maju Berpendapatan Tinggi”. Kesemua inisiatif Kerajaan ini telah dirancang dengan teliti oleh Perdana Menteri untuk memberi manfaat kepada rakyat khususnya, termasuklah wanita. Justeru, wanita perlu menggunakan kekuatan minda, modal intelek serta daya kreativiti dan inovasi untuk bersama-sama mentransformasikan Malaysia bagi mencapai status negara maju dan ekonomi berpendapatan tinggi. Wanita adalah kuasa ekonomi dan aset penting kepada negara yang dapat menentukan kejayaan Program Transformasi Kerajaan dan seterusnya mewariskan kepada generasi yang akan datang.
Kunci kepada formula kejayaan menyeluruh ini ialah kesaksamaan gender. Pendekatan pembangunan bermatlamatkan kesaksamaan gender mahupun “gender equity” dapat memastikan wanita dan lelaki bebas membangunkan keupayaan dan potensi masing-masing dan membuat pilihan tanpa ada halangan dari segi stereotaip gender, peranan gender yang rigid, serta prejudis. Kesaksamaan gender mahupun “gender equity” tidak bermakna bahawa wanita dan lelaki menjadi sama rata, ataupun hak mana-mana gender diabaikan. Sebaliknya, pendekatan ini digandingkan dengan “gender equity” sebagai perantara, di mana layanan dan peluang yang adil diberi berdasarkan keperluan, kepentingan dan aspirasi yang berbeza antara wanita dan lelaki.
Dengan itu, hasil program pembangunan yang dilaksanakan dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, wanita dan lelaki. Jadi percaya dan yakinlah bahawa memperkasa wanita membawa banyak kebaikan kepada masyarakat dan negara. Kegagalan mengambil kira keperluan, kepentingan dan aspirasi wanita dalam agenda pembangunan negara, hanya akan membawa kepada kepincangan dan kehancuran dasar yang digubal. Lebih malang lagi, tidak mengoptimumkan potensi wanita, yang merupakan separuh daripada penduduk Malaysia, adalah satu pembaziran kepada modal insan negara.
Pada kesempatan ini, saya bagi pihak wanita seluruh negara, merakamkan ucapan terima kasih tidak terhingga atas pengiktirafan yang diberikan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Najib terhadap signifikan peranan dan sumbangan wanita di negara ini, yang menjadi penentu tahap pembangunan negara. Dalam ucapan pembentangan Rancangan Malaysia Kesepuluh, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri menyatakan “Status wanita di dalam sesebuah masyarakat itu merupakan ukuran penting sama ada negara itu dinamik serta progresif.
Wanita adalah batu asas keluarga yang sejahtera dan tunjang kepada negara yang berjaya.”
Dengan kenyataan tersebut, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri sebenarnya telah menghantar mesej yang terang, jelas dan tegas kepada semua penggubal dasar, pembuat keputusan dan pelaksana program, sama ada di sektor awam mahupun sektor swasta, supaya lebih prihatin dan peka terhadap isu-isu wanita, keluarga dan masyarakat. Malah pada Jumaat, 15 Oktober 2010, semasa membentangkan Bajet 2011, di antara lain, Perdana Menteri telah melulus dan memberikan fleksibiliti cuti bersalin 90 hari kepada penjawat awam wanita. Terima kasih Dato’ Sri kerana menghayati perjuangan wanita!
Dalam semua perancangan, Perdana Menteri tidak pernah membiarkan isu pembangunan wanita diketepikan. Boleh dikatakan, setiap keputusan yang dipohon oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mahupun Wanita UMNO, sentiasa mendapat sokongan beliau. Malah, Dato’ Sri mengambil berat tentang cabaran-cabaran yang dihadapi oleh wanita pada hari ini di arena nasional dan antarabangsa: isu-isu keganasan, sosial, perubahan dan tuntutan untuk memperbaiki iklim pekerjaan, seperti isu flexi-hours, cara kerja alternatif serta kemudahan TASKA di tempat kerja, isu penyertaan wanita dalam tenaga buruh, kewarganegaraan, dan pengiktirafan terhadap sumbangan wanita dalam semua bidang – ekonomi, politik, dan sosial.
WANITA DI PERINGKAT PEMBUAT KEPUTUSAN
Para hadirin sekalian,
Malaysia amat berbangga dengan pencapaian kaum wanita dalam pelbagai bidang. Di antara yang terserlah ialah bidang pendidikan, ekonomi dan kesihatan. Pada tahun 2009, peratusan pelajar wanita di peringkat diploma adalah sebanyak 59.1%, peringkat ijazah pertama adalah 62.5% dan peringkat sarjana 54.2%. Di peringkat pembuat keputusan dalam bidang akademik di sektor awam, 2 orang wanita menyandang jawatan naib canselor universiti (10%), 11 orang (19.6%) sebagai timbalan naib canselor, manakala pensyarah bertaraf profesor seramai 366 orang (22.5%) dan 1,349 orang lagi (37.4%) bertaraf professor madya.
Dalam bidang ekonomi, aspek pengupayaan ekonomi wanita dijadikan agenda utama di bawah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW). Justeru, di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), melalui inisiatif 1AZAM, golongan wanita diberi latihan untuk membolehkan mereka menceburi dan berjaya dalam bidang keusahawanan. Dalam tempoh Januari 2009 hingga September 2010, seramai 4,550 orang usahawan wanita telah berjaya dilahirkan.
Penyertaan wanita dalam tenaga buruh walaupun perlahan tetapi telah meningkat daripada 45.7% pada tahun 2008 kepada 46.4% pada tahun 2009. Antara usaha bagi menggalakkan wanita dan yang merupakan kategori latent workforce, Peraturan Kerja Separa Masa (Part Time Regulations) telah digubal untuk memberi fleksibiliti dan beberapa faedah kepada mereka yang berminat untuk bekerja, tetapi bukan secara sepenuh masa. Komitmen Kerajaan untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga buruh jelas dilihat dengan penetapan sasaran peningkatan kepada 55% dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh.
Kedudukan wanita di peringkat pembuat keputusan juga semakin menampakkan kemajuan. Di sektor awam, kini terdapat 3 orang wanita memegang jawatan sebagai Ketua Setiausaha kementerian, dan 14 orang atau 26.4% wanita memegang jawatan Timbalan Ketua Setiausaha kementerian, 11 orang atau 15.3% sebagai Ketua Pengarah, dan seramai 10 orang atau 14.5% memegang jawatan Ketua Eksekutif badan berkanun Persekutuan, serta bilangan wanita yang berada dalam kategori JUSA C dan ke atas adalah sebanyak 30.5 pada penghujung tahun 2009. Manakala, pegawai wanita yang berada pada peringkat gred 48 hingga gred 54 pada masa ini adalah seramai 11,599 orang atau 42.1%. Mereka ini berpotensi untuk meningkat ke gred JUSA (peringkat pembuat keputusan) dalam masa beberapa tahun.
Beberapa jawatan berprofil tinggi juga disandang oleh wanita seperti gabenor Bank Negara, pengerusi Suruhanjaya Sekuriti, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Ketua Pengarah Jabatan Hasil Dalam Negeri dan juga Timbalan Ketua Audit Negara.
Apa yang lebih menggembirakan ialah, hasil daripada perjuangan kita, Alhamdulillah, pada akhirnya pelantikan 2 orang hakim syariah wanita menjadi kenyataan bagi Wilayah Persekutuan. Pelantikan ini bukan sahaja respons kepada permintaan yang diperjuangkan sekian lama, tetapi ia diharap merintis jalan kepada pelantikan wanita bagi jawatan yang dianggap mustahil untuk disandang oleh wanita seperti ketua kerajaan negeri.Puan-puan dan Tuan-tuan dan para hadiran sekalian,
Saya berpegang teguh dengan prinsip bahawa ukuran yang paling tepat mengenai tamadun ialah sejauh mana, tebalnya dan dalamnya pengaruh-pengaruh wanita dalam pembentukan negara. Maka dengan itu, saya berazam untuk memperjuangkan bersama-sama dengan puan-puan, dan tuan-tuan juga, supaya ada lonjakan wanita, terutamanya Wanita UMNO, ke persada kepemimpinan negara.
Saya bertekad untuk menentukan empat sektor yang dianggap kritikal mesti ada peningkatan penyertaan wanita iaitu:-
(i) Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan;
(ii) Kepimpinan tertinggi parti sama ada di pusat, negeri dan bahagian;
(iii) Badan-badan Berkanun dan Universiti;
(iv) Sektor awam dan sektor swasta
PENUTUP
Sidang perwakilan yang dihormati sekalian,
Saya bertekad untuk mengajak Wanita UMNO bersiap sedia untuk memperjuangkan peranan yang lebih bermakna di dalam parti dan kerajaan. Saya sudah menjadi ahli UMNO selama 30 tahun. Saya tahu bahawa di kalangan Wanita UMNO ramai yang mempunyai bakat dan potensi yang menunggu untuk digilap sekiranya diberi peluang. Kalau UMNO tidak mahu ketinggalan zaman, maka isu gender politik mesti diambil secara serius dan dihayati di semua peringkat.
Saya dan Ahli Exco Wanita mesti berani memperjuang dan menyediakan ‘prasarana’ dan ‘lebuh raya’ untuk wanita melonjak ke satu tahap kepemimpinan yang membanggakan, misalnya menjadi menteri besar, ketua menteri, pengerusi perhubungan negeri dan jawatan-jawatan tinggi dalam parti. Ia akan dijadikan warisan saya untuk Wanita UMNO keseluruhannya pada zaman serba moden dan progresif ini. Jika Wanita UMNO bersiap sedia, dan kita menang Pilihanraya Umum ke-13, saya percaya ia tidak mustahil boleh berlaku di era kepimpinan Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak kerana beliau seorang “visionary” yang mampu dan berani untuk mengupayakan wanita.
Saya menyeru kepada semua ahli Wanita UMNO Malaysia, marilah kita sama-sama terus bermuafakat; berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, bergerak seiring melakar kejayaan, merealisasikan gagasan 1Malaysia.
Sedia berkhidmat, sedia berkorban
Gigih, berani, setiakawan
Roda berpusing, beralih zaman
Obor wanita penggerak wawasan
Sekian, Wabillahi Taufiq Walhidayah, Assalamualaikum Warahmatullah Hiwabarakatuh, dan Selamat Bersidang.