Sunday, 25 December 2011

Menteri Wanita Malaysia Pertama

Tun Tan Sri Dr. Fatimah Hashim


Pendidikan
Beliau dilahirkan di Parit Kurma, Muar, Johor, Fatimah menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Lelaki Parit Keroma, Muar, kerana ketika itu belum ada sekolah untuk murid perempuan di kampung tersebut. Beliau kemudian menyambung pelajarannya di Sekolah Melayu Perempuan Mersing dan membelajari bahasa Inggeris di sekolah malam dengan seorang guru Sekolah Convent Johor Bahru.
Tun Fatimah mula menunjukkan minat terhadap kerja-kerja kebajikan sejak di bangku sekolah lagi. Semasa bersekolah, beliau seorang murid yang aktif dan pernah menjadi Ketua Darjah dan Ketua Kumpulan Sekolah Melayu Perempuan Mersing , Ketua Kumpulan (murid perempuan) kegiatan berkebun sayur, dan ketua rombongan pasukan senaman ke pertandingan senaman sekolah-sekolah negeri Johor di Sekolah Air Molek.

Kerjaya
Beliau pernah menjadi guru.
Politik
Fatimah memulakan kerjaya politiknya dengan menyertai UMNO pada tahun 1947, ketika berusia 21 tahun. Beliau menganggotai Pergerakan Kaum Ibu (UMNO) Cawangan Kampung Nong Chik, Johor Bahru, dan memegang jawatan Bendahari, serta kemudiannya Setiausaha Kaum Ibu Cawangan Johor Bahru. Pergerakan Kaum Ibu UMNO kini dikenali dengan nama Wanita UMNO
Pada tahun 1956, setelah mengikut suaminya Abdul Kadir Yusoff yang bertugas dalam perkhidmatan kerajaan ke Perak, Tun Fatimah telah dipilih menjadi Ketua Pergerakan Kaum Ibu Negeri Perak dan dalam masa yang sama, memegang jawatan Ketua Bahagian Ipoh. Dalam tahun itu juga (11 September 1956 - 1972), beliau telah dilantik Ketua Pergerakan Kaum Ibu Malaya, menggantikan tempat Khadijah Sidek. Sebagai Ketua Pergerakan Kaum Ibu UMNO, beliau secara automatik menjadi Naib Yang Dipertua UMNO Malaysia dan menduduki kerusi di Jawatankuasa Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Ahli Jawatankuasa Kewangan UMNO dan Ahli Jawatankuasa Politik. Semasa memimpin Pergerakan Kaum Ibu UMNO, beliau berjaya membawa wanita-wanita muda melibatkan diri dalam bidang politik dan sekaligus menyertai UMNO.
Pada tahun 1959, Fatimah sekali lagi berpindah mengikut suaminya ke Kedah. Di sana, pada tahun yang sama, beliau telah dipilih menjadi calon pilihan raya bagi kawasan Jitra-Padang Terap. Kemenangannya pada tahun itu diulangi sebanyak dua kali lagi menjadikan beliau ahli Parlimen bagi kawasan tersebut tiga kali berturut-turut.
Pada 20 Mei 1969, Fatimah dilantik menjadi Menteri Kebajikan Am, wanita pertama menjawat jawatan menteri. Beliau memegang jawatan tersebut selama empat tahun sehingga bersara pada bulan Februari 1973. Sebagai Menteri Kebajikan Am, beliau membuat banyak lawatan ke negara-negara berjiran.
Selaku pemimpin wanita Melayu pertama menjadi Menteri, Fatimah sering kali diundang memberi ucapan dan ceramah dalam seminar-seminar, forum dan persidangan-persidangan yang dianjurkan oleh pelbagai pertubuhan, baik di dalam negara mahupun di luar. Antara mesyuarat dan persidangan yang pernah dihadirinya ialah Perjumpaan Wanita Antarabangsa di Tehran pada tahun 1965.
Kegiatan sosial
Selain daripada bidang politik, Tun Fatimah juga aktif dalam pergerakan sosial, terutamnya dalam pertubuhan wanita. Pada tahun 1962, sebagai Ketua Pergerakan Kaum Ibu UMNO dan bersama-sama beberapa orang pemimpin wanita lain, beliau memulakan perayaan Hari Wanita pada 25 Ogos, satu perayaan yang masih disambut pada hari ini. Selepas pelancaran Hari Wanita, Majlis Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Wanita (National Council of Women’s Organisations, NCWO) ditubuhkan. NCWO merupakan sebuah badan gabungan pertubuhan-pertubuhan wanita yang bertujuan, antara lain, untuk dijadikan urusetia perayaan Hari Wanita di samping menangani persoalan-persoalan wanita semasa. Sebagai Presiden NCWO, Fatimah telah mengikuti beberapa persidangan wanita antarabangsa. Fatimah dipilih sebagai Timbalan yang Dipertua bagi penggal pertama (1962-1965), dan menerajui NCWO selama 24 tahun sehingga bersara daripada jawatan pada tahun 1989.
Fatimah juga pernah menjadi:
Pada tahun 1995, Universiti Teknologi Malaysia melantik Fatimah sebagai Pro-canselor.
Anugerah
Meninggal dunia
Tun Fatimah meninggal dunia pada 9 Januari 2010, jam 11.35 malam dalam usia 85 tahun kerana sakit tua. Jenazah dikebumikan di Masjid Negara di sebelah pusara suaminya, Tan Sri Abdul Kadir Yusoff iaitu bekas Peguam Negara dan Menteri Undang-Undang.[1]

Sumber Wikipedia